Thursday, June 3, 2010

Ragut

faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut menjadi lebih serius.


Contoh Jawapan:

Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.


Cara-cara mengatasi daripada di ragut

SEJAK dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas.

Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.

Keselamatan

``Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan se-suatu apabila diserang,'' ujarnya.

Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu.

``Contohnya apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu,'' nasihatnya.

Jelas Profesor Mahmood, wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang.

Ditanya sama ada wanita sendiri yang menjadi pendorong kepada peragut, Mahmood berkata semuanya bergantung kepada penampilan individu itu sendiri dan sejauh mana mereka membuat persiapan untuk menghadapi risiko sedemikian apabila berada di luar rumah.

Sehubungan itu, beliau turut bersetuju wanita mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya.

``Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka,'' tambahnya.

Mahmood turut menasihati wanita supaya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.

``Seelok-eloknya jangan membawa dokumen penting yang tidak diperlukan setiap hari di dalam beg tangan memadai dengan keperluan untuk hari itu. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat,'' tambahnya.

Menurut Mahmood, sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka.

``Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis,'' cadangnya.

Seperkara lagi kata Mahmood, masyarakat juga harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di dalam situasi seperti itu.

``Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati.

``Saya juga berharap undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya,'' jelas Mahmood.

No comments:

Post a Comment